Bagaimana Nak Buat Rancangan Perniagaan Industri Kecil & Sederhana (IKS) [Download PDF Contoh]

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. 

Setiap perniagaan sebenarnya ‘wajib’ ada rancangan perniagaan. Perniagaan tidak lengkap tanpa adanya perancangan, strategi dan tindakan.

Tidak kisah anda melakukan bisnes online atau offline.

Namun, omong kosong sahaja tidak cukup jika tidak didokumenkan segala perancangan tersebut.

Ramai orang yang nak berniaga, tetapi memandang remeh akan hal yang melibatkan dokumentasi.

Untuk pengetahuan anda, perniagaan yang berjaya bermula dari perancangan yang dibuat secara sungguh-sungguh.

Bukan sekadar fikiran dan kata-kata sahaja, perancangan perlulah dilihat setiap masa atas pelbagai tujuan serta matlamat organisasi.

Oleh itu, pentingnya pelan perniagaan dalam sesebuah syarikat terutamanya perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS).

Apa Itu Rancangan Perniagaan?

Rancangan perniagaan (RP) juga dikenali sebagai kertas kerja, proposal ataupun kertas projek.

RP merupakan sebuah dokumen bertulis yang merangkumi pelan atau tindakan bagi seluruh aspek sesebuah perniagaan atau projek yang ingin dilakukan.

Pendek kata, ia adalah rancangan atau jangkaan serta analisis mengenai sesebuah perniagaan yang akan dilaksanakan beserta dengan kaedah strategi untuk perniagaan tersebut berkembang maju.

Tidak ada mana-mana Rancangan Perniagaan yang dibuat untuk mengelirukan perniagaan, malah ia dilaksanakan sebagai alat bantuan untuk mengembangkan perniagaan.

Oleh itu, rancangan ini mempunyai struktur dan format yang harus ditepati supaya ia lebih jelas dan efektif.

Orang buat video di youtube pon ada buat rancangan inikan pula sebuah perniagaan.

Rancangan Perniagaan Industri kecil dan sederhana (IKS)

Menurut sumber Laman Web Rasmi SME Corp. Malaysia, ciri-ciri IKS yang berbeza satu sama lain adalah dari segi organisasi, modal, jenis keluaran, teknologi pengeluaran dan juga bilangan pekerja.

Industri kecil dan sederhana (IKS) merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara.

Rancangan perniagaan penting untuk segala urusan IKS dengan pihak luar yang ingin bekerjasama dengan mereka.

Terdapat banyak sektor penglibatan IKS dalam perniagaan yang dijalankan.

Antaranya adalah sektor-sektor berikut:

  • Perkhidmatan perdagangan borong & runcit
  • Pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal
  • Perkhidmatan pengangkutan & penyimpanan
  • Perkhidmatan makanan dan minuman
  • Pembuatan pakaian, produk makanan, logam rekaan
  • Perkhidmatan percetakan dan penerbitan media rakaman

Kepentingan Rancangan Perniagaan Buat IKS

Negara

Menjadi penyumbang utama ekonomi negara dari segi pekerjaan, jumlah perniagaan dan keluaran domestik.

Industri negara yang baru tumbuh dan sedia ada juga akan mudah terbentuk dengan adanya pelan perniagaan tidak kira perniagaan online mahupun offline

Agensi Atau Pihak Ketiga

Memudahkan urusan pinjaman perniagaan, pembiayaan, kerjasama bersama badan kerajaan, swasta dan lain-lain serta menjadi panduan dan rujukan bagi pihak luar.

Panduan Perniagaan

Memudahkan usahawan merujuk dan mengurus perniagaannya secara lebih teliti, efektif, sistematik dan objektif.

Rancangan perniagaan juga akan digunakan untuk menganalisis kekuatan dan kelemahan (SWOT) perniagaan mereka.


Bagaimana Nak Buat Rancangan Perniagaan IKS?

Umum tahu bahawa rancangan perniagaan merupakan sebuah kertas kerja lengkap berkaitan sesebuah struktur, kaedah pelaksanaan dan strategi syarikat.

Oleh itu, ia memerlukan sebuah format yang bagus dan maklumat tepat yang diperlukan bagi sesebuah tujuan perniagaan dibuat.

Ikuti langkah-langkah seperti di bawah:

  • Kenal pasti format terbaik rancangan perniagaan
  • Dapatkan contoh rancangan perniagaan sebagai rujukan
  • Dapatkan segala maklumat lengkap bagi sesebuah organisasi yang terlibat
  • Pastikan segala maklumat berkaitan adalah benar dan tepat
  • Dapatkan senarai dokumen yang diperlukan untuk rujukan atau lampiran
  • Buat analisis kewangan, perbelanjaan, kaedah, strategi dan segala yang diperlukan

Format Rancangan Perniagaan

Format ini meliputi beberapa bahagian penting yang wajib ada dalam sesebuah organisasi.

Rancangan perniagaan juga haruslah relevan, logik, padat serta tepat mengikut analisis yang telah dilakukan.

Hal ini kerana rancangan perniagaan akan menjadi tunjang bagi perniagaan yang dijalankan kelak.

Ia haruslah bertepatan dengan apa yang dinyatakan di dalam rancangan perniagaan.

Muka surat haruslah dicatat bermula dari mula dengan info yang diperlukan.

Kemudian, isi kandungan harus dimasukkan dan disertai dengan bahagian-bahagian utama yang penting serta kandungannya.

Bagi memudahkan pembaca membuat rujukan, adakalanya jadual akan digunakan dalam sesetengah bahagian yang diperlukan.

Selain jadual, lampiran juga akan diletakkan pada bahagian yang memerlukan.

Selalunya, semua lampiran akan dikumpul dan diletakkan pada bahagian akhir iaitu senarai lampiran.

Lampiran yang diletakkan adalah berupa sijil atau surat yang berkaitan serta yang menyokong projek.

Berikut adalah ringkasan format rancangan perniagaan Industri kecil dan sederhana (IKS):

Muka Surat Hadapan

Surat Iringan

Isi Kandungan

  • Bilangan
  • Isi kandungan
  • Muka surat bagi setiap kandungan

Kandungan

  • Pengenalan dan ringkasan eksekutif
  • Tujuan Rancangan Perniagaan atau kertas kerja
  • Latar belakang perniagaan
  • Latar belakang ahli kongsi
  • Objektif syarikat atau organisasi
  • Rancangan pentadbiran
  • Rancangan organisasi
  • Lokasi perniagaan
  • Rancangan operasi
  • Rancangan pemasaran
  • Rancangan kewangan

Penutup

Lampiran (Dokumen Sokongan Berkaitan)

  • Rumusan

Format Kandungan Rancangan Perniagaan

1. Pengenalan Dan Ringkasan Eksekutif

Pengenalan merangkumi maklumat ringkas berkaitan syarikat seperti nama syarikat, jenis perniagaan yang dilakukan, lokasi atau alamat premis, produk atau jenama yang dikeluarkan dan lain-lain lagi secara spesifik.

2. Tujuan Rancangan Perniagaan atau kertas kerja

Rancangan perniagaan dilakukan atas tujuan tertentu berdasarkan kepada jenis syarikat tersebut.

Bagi industri kecil dan sederhana, seeloknya dinyatakan tujuan rancangan perniagaan dalam kertas kerja untuk memudahkan semakan kelak.

Ia akan menjadi garis panduan bagi sesebuah syarikat atau projek.

3. Latar Belakang Perniagaan

Rancangan perniagaan juga menggambarkan cadangan bagi sesebuah organisasi untuk berkembang bukan sekadar untuk menjana pendapatan sampingan.

Latar belakang perniagaan yang perlu dijelaskan adalah alamat surat-menyurat, bentuk atau jenis perniagaan, tarikh dan nombor pendaftaran, modal permulaan dan juga jenis akaun bank bagi akaun perniagaan yang dibuka.

4. Latar Belakang Ahli Kongsi

Latar belakang ahli kongsi meliputi pengenalan atau maklumat berkaitan ahli-ahli yang terlibat di sebalik tadbir atau pengurusan IKS.

Maklumat yang diperlukan adalah seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, tarikh lahir, umur, alamat tetap, nombor telefon, status perkahwinan dan lain-lain lagi.

Kelulusan, kelayakan akademi, pengalaman bekerja dan kemahiran juga perlu dinyatakan di bahagian latar belakang ahli kongsi.

5. Skop Perniagaan

Skop perniagaan melibatkan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh syarikat, perkhidmatan utama serta sampingan dan juga potensi perniagaan yang dilakukan. Nyatakan juga faktor yang menyumbang ke arah kemajuan perniagaan (lokasi, saiz pasaran dan sebagainya).

6.Objektif syarikat atau organisasi

Penting sekali untuk masukkan objektif syarikat dalam rancangan anda.

Objektif syarikat terbahagi kepada objektif jangka masa pendek, objektif jangka masa panjang serta misi, visi serta prinsip syarikat.

7. Rancangan pentadbiran

Rancangan pentadbiran melibatkan perkara yang berlaku dan memberi kesan di dalam syarikat. Dari segi pekerja, aset syarikat, perbelanjaan syarikat, keperluan pejabat dan banyak lagi.

Carta Organisasi

Salah satu rancangan pentadbiran yang wajib ada dalam rancangan perniagaan adalah carta organisasi dan senarai jawatan pekerja.

Tidak lupa juga spesifikasi tugas bagi setiap jawatan.

Masukkan carta organisasi yang lengkap, jelas dan mudah difahami di bawah rancangan pentadbiran ini.

Perbelanjaan Aset, Gaji Dan Sebagainya

Setelah itu, masukkan jadual berkaitan aset tetap, modal pusingan dan juga perbelanjaan lain-lain berkaitan pekerja beserta dengan jumlahnya. Ia merupakan perkara penting wajib ada dalam rancangan pentadbiran.

Gaji bulanan, mingguan atau insentif (sekiranya ada), potongan KWSP atau apa-apa potongan wang juga perlu dinyatakan dalam kategori ini.

8. Lokasi Perniagaan

Lokasi perniagaan yang perlu ada, melibatkan kedudukan lokasi fizikal, jenis bangunan, nilai aset premis tersebut serta infrastruktur yang ada di lokasi tersebut.

Penulis harus menyatakan kedudukan lokasi tersebut dari jalanraya, sistem perhubungan atau titik kedudukan sebenar.

Lampirkan peta lakar lokasi untuk memudahkan lokasi dikenalpasti.

Nyatakan juga jenis kemudahan asas yang ada berdekatan lokasi perniagaan.

Sebagai contoh, jalan raya, sistem pengangkutan, elektrik, telefon dan lain-lain lagi.

9. Rancangan Operasi

Operasi sesebuah organisasi berkait rapat dengan jalan kerja atau prosedur syarikat. Ia melibatkan carta aliran proses, unit pengeluaran produk, keperluan bahan untuk operasi serta keperluan bahan untuk tugasan.

Carta Aliran Proses

Carta aliran proses akan menunjukkan langkah demi langkah sesebuah syarikat beroperasi. Ia bermula daripada proses pengeluaran produk, penyediaan, pembungkusan, perkhidmatan dan seterusnya.

Hasil Dan Sumber Operasi

Setelah proses operasi berlaku, hasil operasi perlu dinyatakan dalam setiap penghasilan dan penjualan. Begitu juga dengan jenis-jenis bahan mentah atau stok barang yang diperlukan, nyatakan juga jenis pembayaran yang terlibat sama ada tunai atau kredit terhadap pembekal.

Senarai sumber pembekal amat penting dalam menjadikan rancangan perniagaan anda berjaya. Ia termasuklah sumber peralatan dan mesin serta harga setiap satunya.

Tenaga Kerja

Selain itu, rancangan operasi juga memerlukan maklumat berkaitan tenaga kerja bagi setiap unit atau operasi.

Bilangan dan keperluan setiap tenaga kerja akan diambil peduli dalam bahagian rancangan ini.

Susun Atur Ruang Kerja

Pelan grafik bagi ruang kerja amat penting untuk memastikan susunan atur ruang operasi sangat efektif, selesa dan sesuai bagi memudahkan tenaga kerja memulakan operasi.

Perbelanjaan Operasi

Rancangan perniagaan dibawah rancangan operasi juga adalah dari segi perbelanjaan. Segala perbelanjaan yang melibatkan harta, aset, keperluan operasi wajib dicatatkan. Perbelanjaan bulanan dan lain-lain perbelanjaan harus dikenalpasti secara lebih terperinci.

10. Rancangan Pemasaran

Pemasaran adalah aspek paling penting dalam sesebuah organisasi untuk mendapatkan keuntungan. Namun, organisasi pasti akan terjejas dengan adanya saingan yang tidak dikenalpasti, matlamat juga sukar dikecapi sekiranya saiz pasaran juga tidak jelas.

Produk Atau Perkhidmatan Yang Ditawarkan

Senaraikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat kepada pelanggan. Kenalpasti juga bahawa ia adalah keperluan atau kehendak pengguna serta analisis permintaan pasaran terhadap produk tersebut.

Sasaran Pasaran Atau Pelanggan

Nyatakan kawasan pasaran, profail pelanggan, segmen pasaran serta ciri-ciri pelanggan atau pasaran yang terlibat dalam kawasan tersebut.

Strategi Pemasaran

Strategi pemasaran terbahagi kepada beberapa faktor yang menarik minat pelanggan untuk menghasilkan profit dalam perniagaan tersebut.

Produk – kelebihan produk, kandungan serta penjelasan tentang kegunaan produk.

Pembungkusan – Warna, corak, pakej, jenama dan luaran rupa produk

Strategi Promosi – Kenalpasti bentuk promosi yang ditawarkan

Strategi Harta – Ketahui harga unit asal barang yang ditawarkan

Strategi Edaran – Pastikan corak pengedaran juga disertai dalam rancangan perniagaan untuk memudahkan proses aliran kerja secara keseluruhan. Sebagai contoh, edaran dilakukan dari segi kenderaan, kakitangan ataupun pos.

Saiz Pasaran

Saiz pasaran penting dalam sesebuah rancangan perniagaan untuk meramalkan jumlah jualan perniagaan. Ia merupakan sebuah analisis yang boleh anda anggarkan dalam bentuk bentuk unit jualan atau jumlah wang (RM) atau kedua-duanya sekali.

Saingan utama

Kenalpasti dan senaraikan pesaing utama yang terlibat bertentangan dengan organisasi anda. Lihatlah dari segi nama syarikat, jenama, kekuatan, kelemahan dan harga jualan produk atau servis mereka. Bandingkan dengan syarikat anda.

Syer pasaran

Bagi perniagaan yang dicadangkan, ketahui pembahagian pasaran atau syer pasaran yang terlibat. Ia memerlukan anda berbincang dengan ahli yang terlibat atau menggunakan maklumat berkaitan.

Ramalan Jualan

Data jualan bagi tahun pertama perniagaan amat penting bagi menentukan kedudukan jualan pada tahun berikutnya. Sediakan maklumat atau rujukan berkaitan jualan bulanan bagi tahun pertama perniagaan.

11. Rancangan kewangan

Rancangan perniagaan dari aspek kewangan merangkumi hal perbelanjaan keseluruhan berkaitan syarikat atau projek yang dicadangkan. Jadual-jadual atau pengiraan berkaitan kewangan yang diperlukan adalah seperti berikut.

i. Kos Pelaksanaan Projek Dan Sumber Pembiayaan

  • Pelaburan aset tetap
  • Modal pusingan
  • Lain-lain perbelanjaan

ii. Penyata Kewangan Syarikat

iii. Sumber Pembiayaan Projek

  • Nilai Aset atau Modal (sendiri atau rakan kongsi: Perlu dinyatakan)
  • Pinjaman Bank
  • Pembiayaan Sewa Beli

iv. Penyata Pendapatan Wang

v. Penyata Aliran Wang Tunai

vi. Prestasi Kunci Kira-Kira

vii. Analisis Daya Maju Kewangan

  • Nilai kini bersih
  • Kadar pulangan dalaman
  • Nisbah faedah kos
  • Tempoh pulang modal

12. Penutup

Rumuskan secara keseluruhan perniagaan yang akan anda jalankan.

Berikan harapan, kata-kata positif dan keyakinan supaya projek atau tujuan rancangan perniagaan diluluskan dengan berjaya.

13. Lampiran

Masukkan lampiran dokumen-dokumen yang berkaitan dengan syarikat, produk atau projek sama ada dari segi pendaftaran, pemasaran, kewangan dan lain-lain lagi.

Antara contoh lampiran yang harus diletakkan adalah:

  • Sijil pendaftaran syarikat
  • Salinan permit/lesen
  • Surat sebutharga
  • Sijil kursus
  • Surat sokongan pihak tertentu
  • Bukti modal sendiri
  • Surat-surat kepujian
  • Salinan surat Cagaran
  • Salinan geran tanah (sekiranya berkaitan)

Tips Buat Rancangan Perniagaan

Format rancangan perniagaan ini tidaklah sukar sekiranya anda ikut susunannya satu per satu.

Bagi perkara yang melibatkan wang, jumlah atau nombor, sebaiknya disertakan dalam bentuk jadual untuk lebih mudah difahami dan tidak tersilap data.

Ikut sahaja format di atas dengan menyatakan maklumat sebenar bagi perniagaan yang akan anda jalankan.

Untuk gambaran rancangan perniagaan yang sebenar, sila download PDF contoh rancangan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) di bawah.


Download Contoh


Berikut adalah cara buat rancangan perniagaan terkini serta panduan lengkap untuk anda ikuti.

Rancangan yang baik adalah bila mana keseluruhannya sangat meyakinkan pembaca. Semoga berjaya!

 

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

Sertai Komuniti MazukiBlog

Dapatkan Ebook Idea Jana Pendapatan & Bisnes Online