Ini Cara Mulakan Perniagaan Dadih [+Resepi Dadih Untuk Berniaga]

Dadih, dessert yang sangat digemari ramai suatu ketika dahulu sehinggalah sekarang.

Kadang-kadang tak sabar nak ke pasar malam semata-mata nak cari dadih.

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. 

Harganya sangat murah, kalau boleh nak beli 20 bekas terus.

Dadih merupakan salah satu makanan pemanis mulut berasaskan susu.

Memang sedap, tambah-tambah lagi terdapat pelbagai perisa yang boleh kita cuba.

Nak berniaga dadih pun tidaklah sukar, boleh dikatakan dadih adalah produk makanan yang paling mudah disediakan.

Namun terdapat beberapa faktor penting yang harus kita ketahui sebelum memulakan perniagaan dadih.

Faktor-faktor ini adalah persediaan yang kita perlukan supaya tidak tersilap langkah dalam perniagaan.


Faktor Penting Bagi Perniagaan Dadih

  • Persediaan Dan Persiapan Perniagaan
  • Anggaran Kos Perniagaan
  • Anggaran Harga Jual
  • Margin Keuntungan
  • Resepi Dadih
  • Idea Pemasaran (Lokasi, Sasaran dan lain-lain)

Jom kami ulas satu persatu sebagai persiapan anda yang berminat mulakan perniagaan dadih.

Persediaan penting dan rapi merupakan kunci kejayaan berpanjangan, nak bisnes yang long term, pastikan setiap aspek persiapan dibuat.


Persediaan Perniagaan Dadih

1. Tetapkan Perisa Dadih Yang Ingin Dijual

Perisa bagi dadih yang dijual adalah salah satu elemen penting untuk mendapatkan kepuasan pelanggan.

Ia merupakan pilihan yang kita beri kepada pelanggan ataupun kelebihan dadih yang kita sediakan.

Jika kita berniaga dadih yang mempunyai pelbagai pilihan perisa, pasti lebih ramai pelanggan mencari kita berbanding ke kedai dadih yang cuma ada 1 jenis perisa.

Antara Idea Perisa Dadih Yang Boleh Digunakan Untuk Berniaga Adalah:

  1. Strawberry
  2. Coklat
  3. Cappucino
  4. Mocha
  5. Vanila
  6. Pandan
  7. Jagung
  8. Oreo
  9. Durian
  10. Anggur

2. Resepi Yang Sedap Dan Terbaik

Bagi memulakan perniagaan dadih, resepi adalah perkara utama harus kita ketahui.

Resepi juga akan menentukan kepuasan pelanggan, kos bahan yang diperlukan, kelebihan dadih kita serta potensi sesebuah perniagaan.

Mendapatkan resepi dadih untuk berniaga, buatlah kajian terlebih dahulu kerana tidak semua resepi dadih adalah sama.

Secara umumnya, resepi dadih untuk berniaga dan untuk dimakan sendiri amatlah berbeza.

Kalau buat dadih untuk makan sendiri, kita pasti akan gunakan serbuk dadih segera yang banyak dijual di pasaraya.

Caranya mudah dan cepat.

Tetapi kalau resepi dadih untuk berniaga, pastinya kita akan gunakan bahan yang lebih rendah kosnya dan lebih berbaloi untuk dibuat dalam jumlah yang banyak.

Jom lihat perbezaan antara resepi dadih untuk berniaga dan untuk dimakan sendiri.

  • Resepi Dadih Untuk Dimakan Sendiri

Resepi dadih untuk dimakan sendiri menggunakan bahan-bahan yang sedikit berbeza kerana ia lebih menjimatkan kos, lebih cepat dan pantas dimasak serta prosesnya amat mudah.

Bahan-Bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • Serbuk Dadih – Perisa adalah bergantung kepada kehendak anda
  • Air – 3 liter (Bergantung kepada kuantiti serbuk dadih)
  • Gula – 300 gram
  • Susu Cair
  • Bekas Mengisi Dadih

Cara Sediakan Dadih

  1. Panaskan air 3 liter sehingga mendidih.
  2. Kemudian, masukan 300 gram gula pasir ke dalam air.
  3. Masukkan pula susu cair.
  4. Masukkan juga Serbuk Dadih dan kacau untuk seketika.
  5. Selepas itu, masukkan campuran dadih yang telah siap dimasak ke dalam bekas dadih.
  6. Masukkan dadih ke dalam peti sejuk seketika untuk sejuk bekukan dadih tersebut. Siap untuk dimakan.
  • Resepi Dadih Untuk Berniaga

Bahan-bahan yang digunakan bagi resepi dadih untuk berniaga ini sangat berbaloi kerana ia boleh menghasilkan dadih bagi jumlah bekas yang lebih banyak.

Justeru, tak perlulah kita keluarkan modal yang lebih untuk bahan-bahan yang tak diperlukan.

Bahan-Bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • Agar-agar 1 pek (375 gram)
  • 3 Kotak Susu (Pek 1 liter) – Perisa bergantung kepada kehendak anda
  • Gula
  • Garam
  • Air 3 liter

Cara Sediakan Dadih

  1. Panaskan api dan masukkan air bersama agar-agar (3 liter air bagi 1 pek agar-agar).
  2. Masukkan gula sebanyak 500 gram dan sedikit garam.
  3. Tunggu sehingga air mendidih, masukkan susu dan tutup api. Jangan berhenti kacau.
  4. Tuangkan ke dalam bekas dadih yang disediakan.
  5. Tunggu sehingga sejuk sedikit, kemudian baru tuutp bekas dadih supaya tidak berwap.

Mudah bukan?

Resepi dadih untuk berniaga ini membolehkan anda menggunakan jelly untuk penambah kenyal dadih tersebut, tetapi tidak wajib.

Jika nak kurangkan kos, tak perlu letak jelly lagi.

Di samping itu, resepi dadih ini boleh memuatkan sehingga 80 bekas, berbaloilah jika anda berniaga gunakan resepi ini.

Tak perlu keluar kos yang banyak, tapi dapat banyak dadih.

3. Persediaan Bahan Dan Barang Keperluan

Buat satu senarai bahan dan barang yang diperlukan untuk mula berniaga.

Berniaga dadih tidak memakan banyak kos dan barang, tetapilah carilah pembekal yang menjual dengan harga murah tetapi barangnya berkualiti.

Antara barang-barang yang perlu disediakan adalah seperti berikut:

  • Bekas dadih
  • Agar-agar
  • Susu Cair
  • Gula
  • Garam
  • Air

4. Anggaran Kos Berniaga Dadih

Kos berniaga dadih tidaklah tinggi seperti yang disangkakan namun bergantung kepada kuantiti dadih yang ingin kita dapatkan dan resepi dadih untuk berniaga yang akan kita guna.

Ada orang berpendapat bahawa berniaga dadih tidak mendatangkan untung yang banyak, tetapi jika pandai pilih resepi dan caranya, pasti banyak kos dapat dijimatkan.

Jika kena pada caranya, kos modal terhadap keuntungan perniagaan dadih boleh dicapai sehingga 100%.

Jom lihat kiraan asas untuk bahan-bahan yang diperlukan bagi menghasilkan dadih.

  1. Bekas dadih: RM12.00 (100 bekas )
  2. Gula: RM2.80 (1 kg)
  3. Garam: RM 2 (1 kg)
  4. 3 Kotak Susu (RM 4.50)
  5. Agar-Agar (1 Pek) = RM 3.50

Berikut adalah anggaran kasar bagi kiraan bahan buatan dadih.

Mari kita pecahkan kos tersebut secara terperinci lagi untuk dapatkan 80 bekas.

  1. Bekas dadih (80 X RM 0.12): RM 9.60
  2. Gula (100 g): RM 0.28
  3. Garam (sesudu garam): RM 0.10)
  4. 3 Susu Kotak: RM 4.50
  5. Agar-agar (1 Pek): RM 3.50
  6. Air Masak (Anggaran): RM 1
  7. Duit kegunaan gas: RM 1

Total keseluruhan: RM 19.98

5. Anggaran Harga Jualan Dadih

Satu bekas dadih boleh dijual pada harga RM 1, RM 1.50 atau RM 1.80.

Ia merupakan harga biasa di pasaran jika anda menggunakan bebas dadih kecil sederhana panjang.

6. Margin Keuntungan Jualan Dadih

Mari kita lihat margin keuntungan berniaga dadih sekiranya anda menjual satu bekas dengan harga RM 1.

Untung banyak atau sikit?

Jika modal bagi 80 bekas adalah RM 19.98, maka modal bagi 1 bekas dadih adalah RM 0.25.

  • Harga jual: RM 1 (Minimum) X 80 bekas: RM 80
  • Keuntungan: RM 80 – RM 19.98: RM 60.02

Bermaksud, 1 bekas dadih jatuh untung sebanyak RM 0.75.

Keuntungan RM 60.02, manakala modal yang dikeluarkan adalah RM 19.98.

Sangat untung kan?

Kalau nak jual RM 1.50 pun tiada masalah.

Dari segi resepi nak buat lain dari yang lain pun boleh letak buah, topping, warna berbeza dan macam-macam lagi.

7. Lokasi Atau Target Sasaran Jualan

Apabila sudah jelas akan resepi dadih untuk berniaga,

anggaran kos modal dan keuntungan,

kini penting untuk kita senaraikan lokasi atau target sasaran jualan yang boleh kita masuk untuk letupkan jualan dadih.

Harus kita faham bahawa dadih adalah makanan yang berada bawah kategori makanan murah.

Oleh itu, golongan berpendapatan rendah, sederhana atau kawasan ramai orang merupakan lokasi terbaik.

Jom lihat antara target sasaran jualan dadih yang sesuai untuk kita mulakan.

  • Kawasan sekolah, kantin, pejabat sekolah
  • Kawasan kilang, kantin, pejabat kilang
  • Kawasan kedai runcit
  • Kedai sarapan, makan tengahari dan makan malam
  • Pasar malam dan pasar pagi
  • Secara online
  • Gerai-gerai tepi jalan
  • Pesta hiburan atau konsert ramai orang
  • Jualan sebagai doorgift majlis kahwin dan lain-lain

8. Kreativiti Dan Kelebihan Dadih (Unique Selling Point)

USP atau unique selling point merupakan perkara penting dalam sesebuah perniagaan dimana setiap produk yang dijual perlulah mempunyai kelebihan dan keunikannya yang tersendiri.

Bagi perniagaan dadih, selain resepi atau rasa yang sedap, anda perlu kreative dalam memasarkannya.

Terdapat beberapa idea pemasaran yang sesuai digunakan untuk menjual dadih.

  • Hasilkan dadih dalam pelbagai perisa yang berbeza
  • Hasilkan dadih dalam beberapa jenis kategori seperti dadih biasa dan dadih premium.
  • Cari packaging atau pembungkus yang lain dari yang lain atau lebih kemas berbanding bekas yang sering digunakan diluar sana.
  • Ikat riben pada dadih untuk dijadikan doorgift atau hadiah
  • Jual secara combo, minimum order atau mengikut pakej terhadap golongan pelanggan yang sesuai.
  • Hasilkan tagline yang sesuai berdasarkan produk dadih anda. Sebagai contoh, Art Dadih yang menjual dadih cikedut mempunyai taglinenya yang tersendiri iaitu ‘Cikedut isap isap sedap ooo’.
  • Lakukan marketing yang berbaloi iaitu zero kos marketing dengan cara brandingkan dadih anda.
  • Jenamakan dadih anda atas satu nama supaya orang lebih kenal dan tampak lebih eksklusif.
  • Viralkan dadih anda dengan ayat-ayat iklan atau gambar iklan yang sangat menarik.

9. Terapkan Konsep B2B Dalam Perniagaan Dadih

Ramai yang berputus asa berniaga dadih kerana lama kelamaan tidak mendapat sambutan dan permintaan pelanggan.

Sebenarnya, berniaga dadih sangat banyak permintaan, namun harus kena pada caranya.

Jangan hanya lakukan pemasaran B2C sahaja sedangkan B2B tidak pernah kita buat.

Apakah B2B dan B2C yang dimaksudkan? Begini, mari kami jelaskan.

B2C (Business to Consumer): Kita jual barang niaga terus kepada pelanggan kita.

Contoh, kita berniaga dadih dan jual kepada pembeli dengan harga RM 1.50. Pelanggan beli dan makan dadih tersebut.

B2B (Business to Business): Kita jual kepada peniaga, pengilang, pengurusan majlis dan lain-lain.

Sebagai contoh, pihak RNR letakkan dadih di RNR dan membeli dari kita.

Kita jual pada mereka dengan harga RM 1, mereka jual pada pelanggan dengan harga RM1.50.

Begitu juga dengan kilang, kantin, mesyuarat pejabat dan lain-lain lagi.

Mereka akan membeli dengan banyak, kita boleh letakkan minimum pembelian untuk mereka mendapatkan dadih dengan harga RM 1.


Langkah-Langkah Memulakan Perniagaan Dadih (Ringkasan)

  1. Ikuti resepi dadih untuk berniaga yang kami kongsikan.
  2. Sediakan bahan dan barang keperluan perniagaan.
  3. Bina jenama bagi dadih anda untuk dikenali.
  4. Mulakan pemasaran untuk setiap sasaran pelanggan anda.

Dengan mengikuti panduan dan cara bagaimana nak mulakan perniagaan dadih, anda sudah boleh mula perniagaan anda sendiri dengan cepat dan pantas.

Pastikan anda cuba hasilkan dadih mengikut resepi yang diberi sebelum buat untuk menjual.

Practice make perfect!

Cuba dulu, resepi pasti menjadi, perniagaan pun pasti mendapat sambutan ramai.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

Download Ebook Ini Secara PERCUMA

Sertai komuniti pembaca setia kami, Kami akan hantar tips bisnes & duit online terus ke emel anda setiap minggu.

Download Ebook Ini Secara PERCUMA

You have Successfully Subscribed!